sehari di sofia ... p5


Palace of Justice
Sofia, Bulgaria
February 2019

sejuk dan kering. 
angin musim dingin itu sekali sekala melewati Vitosha Boulevard dan menyapa tubuhku sewaktu berjalan-jalan mencari tempat untuk sarapan. mujurlah rumah kaca milik cafe illy itu bertutup rapat, cuma pintu masuknya yang dipasang kanvas plastik kekadang berolak disipi angin. ada juga pemanas elektrik dipasang untuk keselesaan tamu.

kopi hitam illy sampai dahulu di meja bulatku. Anna, gadis berambut perang itu manis tersenyum sambil menyapa selamat menikmati kopi itu lalu beralih ke meja lain untuk mengambil pesanan. aku menghela nafas panjang sambil kedua-dua tapak tangan memegang cawan kecil yang hangat dek panas kopi hitam itu.

kopi hitam itu aku hirup kosong tanpa gula. terlalu kelat. terus sahaja aku menambah sedikit gula, menambah rasa. selang beberapa minit, Anna kembali dengan sarapan aku. 

“enjoy your meal!”

aku melihat jam tangan. hampir 9 pagi dan masih awal. rencana aku adalah untuk menyertai Sofia Walking Tour pada pagi itu dan aktiviti itu biasanya bermula jam 11 pagi. aku masih punya waktu untuk santai menikmati sarapan.

selesai sarapan dan membayar harganya kepada Anna, aku terus bergerak kembali ke apartment inapku yang terletak beberapa blok bersebelahan Vitosha Boulevard. sampai sahaja disimpang, mataku terpandang akan kedai roti yang diceritakan oleh Valentin semalam. kedai roti yang sederhana besar di hujung simpang itu sudah beroperasi. 

kelihatan beberapa petugasnya yang terdiri daripada wanita-wanita lewat 30-an aku kira, sedang leka menyusun roti-roti dan pastri yang baru dibakar di rak-rak ditepi tingkap kedai. pintu utamanya bersilih ganti di buka tutup oleh pengunjung yang seolah2 tak putus. ah...mungkin benar apa yang Valentin ceritakan, akan status kedai roti kecil itu yang menjadi kegemaran penduduk tempatan.

aku meneruskan langkah, membelok ke ruang antara kedai menuju ke tangga ke apartment. pintu besi dihadapan kaki lima itu sudah mula dibiar terbuka kerana hari sudah siang. 

sampai di pintu apartment, sedang aku mencari kunci, kedengaran suara wanita sedang bercakap (ditelefon), berlatarkan bunyi penyedut hampagas. aku menolak pintu utama dan terus sahaja di sapa dengan bahasa isyarat oleh seorang wanita separuh umur yang sedang berbual di telefon sambil mengemas apartment. aku cuma tersenyum dan terus ke bilik kerana tidak mahu menganggunya.

Maria. nama wanita separuh umur itu yang bertugas sebagai penjaga apartment itu, merangkap tukang kemas/cuci. Kami berbual ringkas di meja makan usai dia selesai menolak penyedut hampagas itu di ruang2 utama apartment. Ramahnya penuh keibuan, biarpun dikekang oleh bahasa. Malah, dia nyata tidak buta teknologi. Dia kerap menggunakan aplikasi telefon bimbit untuk mencari dan menterjemahkan perbualan kami. 

aku memberitahu Maria akan rancangan aku untuk hari itu. Terus sahaja dia menghulurkan brosur tentang Sofia Free Walking Tour yang memang disediakan untuk rujukan tetamu apartment. 

“very good tour. 11.30am. Go at the lion statue” ujarnya ringkas, sepatah demi sepatah, sambil menunjukkan jarinya pada jam dinding. Lion statue itu merujuk kepada Palace of Justice, tempat di mana para sukarelawan akan menunggu untuk membawa pengunjung mengikuti Sofia Walking Tour itu. 

aku memohon mengundurkan diri ke bilik, mahu bersiap dan berehat sebentar sebelum bergerak ke tempat yang dinyatakan itu.

“enjoy your day. i’ll see you in the late afternoon” ujarnya sambil meneruskan tugasnya mengemaskan bilik yang baru sahaja ditinggalkan tamu lain.

bersambung.

Comments