sehari di sofia ... p4



Illy Cafe
Vitosha Boulevard 
Sofia
February 2019

masih awal. belum pukul 9 pagi. mungkin itu sebabnya stesen metro di serdika ini masih lengang. selang beberapa minit menunggu, tren ke stesen sentral tiba. 

perjalanan ke stesen sentral memakan masa lebih kurang 15 minit. sampai sahaja aku terus keluar mencari laluan terdekat. seingat aku, tiada laluan terus bawah tanah atau tertutup ke stesen sentral. aku terpaksa keluar dahulu dan melalui stesen bas utama sofia. stesen keretapinya pula terletak bersebelahan.

pantas aku berjalan mengikut arah yang dipetakan oleh google map. mahu mencari tempat yang lebih hangat. musim dingin di sini lebih sejuk nampaknya jika berbanding waktu aku di Istanbul pada hari semalam. lebih-lebih lagi angin pagi yang kadang-kadang bertiup kuat menyapa mukaku yang sudah separuh berbalut dengan pemanas leher yang aku tarik.

tiba di stesen sentral sofia aku duduk sebentar di bangku, melepas lelah. tekak nyata rasa kering dan mencari-cari kiosk menjual minuman. aku ke kedai serbaneka di dalam stesen. ada kopi panas segera. secawan kecil cukup untuk membasah tekak dan memanaskan badan.

usai sudah, aku bergerak, berjalan dari hujung ke hujung ruang yang menempatkan kaunter-kaunter tiket, sambil mata mencari-cari info dan papan tanda. agak keliru memandangkan tulisan tempatan mendominasi ruang. ah... akhirnya pandangan ku tertancap pada papan tanda di kaunter 1 - information counter.  padanlah ramai yang beratur di situ. 

sampai giliran aku, terus aku bertanya akan kaunter untuk membeli tiket keretapi malam ke Istanbul. 

‘International train, kaunter 3’ ringkas sahaja petugas wanita yang kelihatan sudah lebih separuh abad, menjawab dalam senyum yang kelat. Dejavu - rasanya seperti sama pengalaman dia kaunter metro Serdika tadi.

masih ada beberapa orang tamu yang beratur di hadapan aku. sementara menunggu, aku cuba mencari sambungan internet percuma di stesen itu. mahu mencari informasi tentang keretapi yang akan aku naiki - tentang jadualnya dan harga untuk perbandingan. 

sebenarnya, menaiki keretapi malam yang lengkap dengan tempat tidur merupakan antara pengalaman yang selalu aku cuba setiap kali berkembara, jika ada peluang. biarpun Adam menyarankan aku menaiki bas ke Istanbul kerana lebih murah, aku memilih untuk mencuba menaiki tren malam.

petugas wanita di kaunter 3 itu memberi penerangan kepada aku tentang harga tiket dan aturannya. bahasa inggerisnya juga agak terbatas, dan aku beberapa kali terpaksa memintanya mengulang.  

‘sleeper-coach’ tren yang aku pilih dari Sofia ke Istanbul boleh memuatkan 2 penumpang pada satu masa. dan memandangkan aku keseorangan, aku bersetuju membayar harga tambahan. 65euro jika tidak silap aku harganya yang dibayar dalam matawang lev. aduh... mahalnya harga untuk sebuah pengalaman. 

aku diberikan dua tiket.petugas kaunter itu memberitahu yang konduktor akan datang memeriksa tiket dua kali, pertama usai meninggalkan sofia dan kali kedua apabila tiba Plovdiv. 

selesai urusan aku bergerak meninggalkan stesen sentral sofia, menuju ke metro kembali. perut sudah mula berkeroncong. sampai di stesen metro serdika, aku terus ke Vitosha Boulevard mencari cafe untuk sarapan.

Illy Cafe. nama cafe ini sinonim dengan jenama kopi yang aku pernah cuba di KLCC dan kebetulan sudah beroperasi pada pagi itu. 

Anna, gadis pelayan yang berambut perang itu memberi isyarat untuk aku menunggu di meja di luar untuk dibawakan menu.

sarapan yang aku pesan - beberapa keping hirisan roti perancis, telur dadar bercampur bawang dan tomato, kentang dadu yang digoreng bersama dedaun herba dan kopi hitam illy.

bersambung.

Comments