sehari di sofia ... p3



Sveta Nedelya Church
Sofia , Bulgaria
Feb 2019

Selamat pagi Sofia.

Jet-lag yang masih bersisa menyebabkan aku terjaga awal selepas menutup lampu bilik. Jam biologi mengisyaratkan sudah waktunya untuk bangun. aku memandang ke luar tingkap yang masih gelap. mengintai dicelahan cahaya bangunan-bangunan di sekitar sambil mengharapkan salji turun.

aku melihat jam. masih awal dan belum subuh lagi. terus aku merebahkan diri kembali dan menarik selimut tebal membaluti seluruh tubuh. lama-lama aku membiarkan fikiran dan perasaan aku menerawang akan kotak memori berselang dengan rencana untuk esok pagi. sengaja mahu memaksa diri mengalah dari menuruti hasrat tubuh.

entah berapa lama aku begitu. sedar-sedar sahaja jam loceng di telefon berbunyi menandakan waktu biasa untuk aku bangun tidur. jam 615 pagi. terus sahaja aku ke tandas dan menyiapkan diri  untuk solat subuh.

ah. sejuk betul. biarpun apartment itu dipasang oleh pemanas. 

selesai subuh aku kembali merebahkan diri di katil sambil meneliti info di telefon. info tentang cara untuk ke stesen keretapi, tentang sistem metro sofia, tentang tempat-tempat di Sofia untuk dilawat hari ini.

sesekali mataku melirik ke tingkap, melihat perlahan-lahan tirai malam diangkat kelam cahaya pagi. ah... tidak ada istilah matahari terbit yang nyata pada pagi itu. musim dingin di Sofia dan kebanyakan negara seperti ini biasanya mendung sahaja dek awan.

aku terus bersiap-siap. tujuan pertama pagi ini ke stesen keretapi utama dahulu untuk membeli tiket keretapi ke Istanbul. kedua, sarapan pagi.

keluar dari bangunan aku mula mengatur langkah mengikuti arah yang dipetakan oleh google-map. kota sofia masih sepi. yang ada dijalan raya cuma beberapa buah kenderaan dan tram yang sudah memulakan operasi. sekali sekala aku bermain-main menghembus nafas dek mahu menguji sejuk mana cuaca di luar ini. 

aku tiba di stesen metro Serdika yang terletak di tengah-tengah bandar Sofia dan berdekatan dengan apartment yang aku inap. mataku mencari-cari mesin untuk membeli tiket dan papan informasi. tak silap aku semuanya tertera dalam bahasa dan tulisan tempatan. terpaksa aku mengalah dan menghampiri kaunter petugas.

kadangkala aku agak skeptikal di negara-negara sebegini kerana petugas tempatan biasanya jarang mahu berbahasa inggeris dan membuat aku lebih selesa mencari maklumat sendiri. 

wanita separuh umur yang bertugas dikaunter sedang leka membaca sesuatu sambil menikmati kopi. pandangannya terus beralih kepadaku usai sedar aku mendekati kaunter. soalan mudah dan ringkas ku dijawab dengan senyuman dan pantas - tiket harian dan arah ke stesen keretapi. mungkin dia mahu terus bersendiri dari membuang waktu melayan kerenahku.

aku meneruskan perjalanan ke stesen keretapi. mengikuti arah tuju yang diberi olehnya. 

bersambung.

Comments