sehari di sofia ... p2



Vitosha Boulevard 
Sofia , Bulgaria
February 2019

Lewat jam 9 malam, pesawat 737 Turkish Airlines mendarat tiba di lapangan antarabangsa Sofia. perjalanan yang hampir sejam itu sedikit terhibur melayan keletah anak kecil seusia 10 tahun yang duduk disebelahku. dia tertarik dan teruja mahu berbual dalam bahasa inggeris dengan aku sepanjang perjalanan. ujarnya dia tinggal di sofia, tetapi keluarganya berasal dari Turki. itu pemahaman aku bila dia memberitahu mereka di Sofia kerana bapanya bertugas disana. sekali sekala ibunya tersenyum kecil melihat kerenah kami.

Sepi. 
pesawat kami mungkin penerbangan terakhir yang singgah buat hari itu. urusan imigresen berjalan lancar dan pantas dek kerana lengang dan aku terus keluar ke balai ketibaan, mencari pemandu yang telah aku aturkan untuk ke rumah tamu. Saat itu, baru terasa sejuk malam musim dingin di kota balkan yang nyata lebih menggigit jika dibandingkan siang tadi. aku cuma berharap persalinan sehelai sepinggang yang aku bawa cukup untuk memanaskan diri ini buat tempoh sehari dua di sini.

Seorang lelaki tua sedang berdiri di luar balai sambil memegang kad yang tertulis nama aku. Matanya liar mencari-cari gerangan tuan punya badan. sekali pandangan kami tertancap, terus sahaja dia tersenyum lebar seolah-olah tahu akulah orang yang dicari.

Kami terus ke kereta sebelum sempat memperkenalkan diri masing-masing dengan panjang lebar. Mungkin dia juga kesejukan.



Valentin, lelaki lebih separuh abad ini nyata ramah dan menyenangkan. Dia memulakan perbualan bilamana kereta kami bergerak meninggalkan bandara. biarpun dikekang oleh ketidakfasihan berbahasa inggeris, dia nyata tidak putus asa untuk berbual dengan aku tentang pelbagai perkara tentang Malaysia. mungkin ini pertama kali buatnya menerima tamu dari Malaysia. dia tahu serba sedikit tentang negara kita, bila bisa menyatakan perbandingan akan komposisi penduduk muslim yang ramai di Malaysi berbanding dengan Bulgaria yang majoritinya penganut kristian ortodok.

sebaik kami memasuki kawasan bandar, Valentin mengubah topik, memperkenalkan aku akan kawasan sekitar nya. dia memberitahu yang apartment sewaan aku nyata strategik kerana terletak di tengah2 bandar bersebelahan dengan Vitosha boulevard. akhirnya kereta kami berhenti di simpang kecil 2 blok dari Vitosha Boulevard. 

‘good bread!’ ujarnya sambil menuding jari ke sebuah kedai roti dan pastri di tepi simpang itu.

kami berjalan dan memasuki pintu besi di antara rumah-rumah kedai di blok itu dan menaiki tangga ke tingkat 2. kami tiba di apartment. Valentin menunjukkan kepadaku akan bilik ku dan menerangkan serba sedikit tentang aturan penginapan. ujarnya apartment 3 bilik itu turut dihuni tamu lain pada malam itu. masing-masing mungkin sudah keluar atau mengucapkan noktah untuk hari itu.

selesai semua urusan dia meminta izin pulang.

aku merebahkan diri di katil. akhirnya, setelah sehari semalam, barulah aku betul-betul dapat berehat. terus sahaja aku ke bilik air, mandi air panas dan menyelesaikan solat sebelum berehat sambil membalas mesej-mesej di telefon.

entah pukul berapa aku terlelap. sedar-sedar sahaja lampu masih terbuka dan sejuk malam nyata membuat diri kerap ke tandas.

esok. aku punya sehari suntuk untuk mengenal kota Sofia.

bersambung.


Comments