sehari di sofia ... p1



sofia central station
February 2019

Sofia. 

ibu negara Bulgaria ini tak pernah aku fikir akan menjadi salah satu destinasi untuk aku jejaki. Reputasinya tak segah sepertimana negara-negara Balkan yang lain yang sering berada dalam jalur kembara kebanyakan rakyat malaysia. Jika tidak kerana info yang dikongsi oleh Adam, pemandu tamu kami sewaktu di Turki pada September lalu, mungkin aku akan menghabis waktu di Istanbul sahaja sementara menunggu ‘akhi tiba dari Jordan untuk kembara kami merentas anatolia.

“abang boleh naik bas malam dari Istanbul. kecil sahaja kota sofia bang. boleh pergi hujung minggu” , celah Adam dalam bicara kami lewat secangkir kopi turki di cafe Made yang terletak berhadapan dataran Sultanahmet.

bila ‘akhi memberitahu yang dia akan tiba lewat 3 hari di Istanbul kerana membawa tamu ke Palestin, langsung harus aku menukar rencana kembara merentas anatolia kami - jadi lebih pendek, dan melencong sebentar ke Sofia.



aku tiba di lapangan terbang Sabiha pada waktu tengahari dengan pesawat Qatar Airways. usai selesai urusan imigresen dan mengambil bagasi, terus aku mencari bas ke Taksim. matlamat aku, mahu tiba di lapangan terbang Attartuk secepat mungkin - mahu berehat.

penat sebenarnya. sudah lebih 12 jam aku berkelana sejak meninggalkan kan kuala lumpur. letih yang masih belum dilunaskan oleh rehat yang cukup makin terasa, gara2 tidur2 ayam sahaja di lapangan terbang Doha pada malam sebelumnya. apatah lagi dingin musim sejuk kota Istanbul mengigit ke tulang saat aku keluar dari balai ketibaan sabiha.

sampai di Taksim, mujurlah bas ke lapangan attartuk masih belum berlepas. jika tidak terpaksa aku menunggu dalam kesejukan kerana hentian bas sambungan ke lapangan terbang ini terletak di tepi jalan berhampiran dataran Taksim dan bukannya di stesen bas.

sempat aku terlena dalam perjalanan yang tak sampai sejam. 

sampai di lapangan terbang Attartuk, aku berhenti sebentar melepas lelah di kerusi menunggu sambil mata melilau mencari premis untuk meninggalkan bagasi aku. aku mengemaskan bagasi utama, memindahkan sepasang persalinan dan bekal makanan ke beg harian aku. beg sandang utama aku tinggalkan di tempat menyimpan bagasi. 72 lira harganya untuk 3 hari.

selesai urusan yang patut dan solat, baru terasa lapar perut ini. 

dek kerana lapangan terbang ini bandara utama negara Turki, hasrat aku untuk mencari ruang untuk berehat bukan mudah. hampir segenap bahagian penuh dengan pengunjung. akhirnya, aku memilih untuk makan tengahari di Burger King sahaja yang terletak di tingkat atas balai berlepas. 

ah. awal tadi petugas telco di turkcell ketawa kecil bila melihat cop di passport aku yang baru tiba di Sabiha dan sudah mahu berlepas meninggalkan Istanbul. “Trabzon” ringkas aku menjawab bila ditanya kemana tujuan aku.

aku melihat jam. 3 petang.

masih bersisa beberapa jam kerana pesawat Turkish Airline ke Sofia cuma akan berlepas jam 7 malam.

bersambung.

Comments